Skim balak WWF membenarkan pembalakan haram, pemusnahan hutan dan gagal untuk menghalang pencabulan hak asasi manusia

English version

Skim di bawah bendera WWF untuk mempromosi perhutanan mapan – Rangkaian Hutan dan Perdagangan Global (GFTN) – membenarkan syarikat-syarikat mendapat manfaat daripada perhubungan dengan WWF dan jenama panda ikoniknya, sementara mereka terus memusnahkan hutan dan memperdagangkan kayu balak daripada sumber haram, suatu taklimat baharu yang didedahkan oleh Global Witness. Sementara GFTN adalah bertujuan mengurangkan dan menghapuskan amalan syarikat ini dalam 5 tahun pertama keahlian, kegagalan sistemik merosakkan keupayaan skim melaksanakannya untuk hutan.

Penjelasan Global Witness, Memenuhi Kehendak Pembalak, mendapati bahawa syarikat pembalakan utama Malaysia Ta Ann Holdings Berhad, yang merupakan ahli skim yang membayar, menjalankan operasi pembalakan yang memusnahkan hutan hujan pada kadar bersamaan 20 padang bola sehari, termasuk habitat orang utan dalam lingkungan projek ‘Hati Borneo’ kepunyaan WWF sendiri. Seorang ahli lain, Jewson, pembekal bahan binaan UK, telah gagal menghapuskan kayu balak yang diperoleh daripada pembalakan haram 10 tahun selepas menyertai skim ini. Syarikat pembalakan ketiga, Danzer Group, sebuah syarikat Swiss-Jerman, mempunyai anak syarikat yang berulang kali terlibat dalam konflik dengan masyarakat setempat, mengakibatkan pencabulan hak asasi manusia, termasuklah dakwaan rogol dan kekerasan oleh pasukan negeri, namun Danzer Group terus menikmati keahlian skim tersebut.

Global Witness telah mengesan masalah sistemik dengan GFTN termasuk:

  • GFTN kekurangan ketelusan dan kebertanggungjawaban; skim tersebut adalah legap, dengan sedikit atau tiada langsung maklumat di domain awam tentang prestasi setiap syarikat individu yang menyertai, atau kesan skim itu sendiri;
  • Peraturan keahlian dan penyertaan bagi GFTN keseluruhannya tidak mencukupi, membolehkan sesetengah syarikat menyalahgunakan skim tersebut secara sistemik.
  • GFTN kekurangan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang betul;
  • Tiada prosedur mencukupi yang dilaksanakan untuk menilai skim tersebut secara bebas mengenai kemapanan hutan.

“Apabila suatu skim penting yang dicipta atas nama kemapanan dan pemeliharaan bertolak ansur dengan salah sebuah syarikat anggotanya dalam memusnahkan habitat orang utan, sesuatu yang amat tidak wajar sedang berlaku," kata Tom Picken, Ketua Kempen Hutan di Global Witness. “Melalui geran kerajaan, pembayar cukai membiayai sebahagian besar daripada peruntukan tahunan skim ini yang berjumlah sebanyak £4j bajet dan mereka berhak untuk mengetahui bahawa duit mereka tidak dibelanjakan untuk menghijaukan amalan yang buruk," kata Picken lagi.

Global Witness meminta penilaian bebas dan menyeluruh terhadap peraturan GFTN, prosedur ketelusan dan kesan skim tersebut terhadap hutan. WWF mesti menjadikan keahlian skim sebagai syarat untuk syarikat mematuhi amalan kemapanan, etika dan amalan undang-undang serta melarang penyertaan mana-mana syarikat jika ia berterusan memusnahkan hutan semula jadi, memperdagangkan kayu balak haram atau terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia.

“WWF harus secara umum memisahkan dirinya daripada mana-mana syarikat yang menggunakan kayu balak daripada sumber tidak sah atau tidak beretika. Amat memeranjatkan apabila sebuah kumpulan pemuliharaan yang paling dipercayai di dunia menganggapnya sebagai boleh diterima untuk mengambil wang daripada syarikat sedemikian,” kata Picken.

“Penyiasatan ini menimbulkan persoalan yang lebih besar mengenai strategi dasar dan keberkesanan skim sukarela seperti ini. Demi melindungi hutan dunia yang selebihnya dan mengelak daripada memperdayakan pengguna, inisiatif-inisiatif harus ditumpukan untuk mengurangkan permintaan keseluruhan dan bukannya meluluskan penebangan kawasan hutan yang semakin meluas,” ujar Picken.

 / Tamat  

Hubungi:

Tom Picken, Ketua Kempen Hutan, +44 (0)781 055 8247, [email protected]

Oliver Courtney, Pegawai Perhubungan, +44 (0)773 932 4962, [email protected]

Patrick Alley, Pengarah, +44 (0)207 492 5880, [email protected].

Nota kepada editor:

 

1. Rangkaian Hutan dan Perdagangan Global (GFTN) merupakan skim kemegahan di bawah WWF untuk menggalakkan perdagangan global yang sah dan mapan bagi produk-produk kayu. Ia merupakan salah satu skim yang  terbesar dan paling hebat dibiayai di dunia dalam jenisnya. Objektif skim yang dinyatakan adalah untuk ‘mengubah pasaran global menjadi satu kuasa positif bagi menyelamatkan hutan dunia yang paling berharga dan terancam dengan membantu syarikat menghasilkan dan memperdagangkan produk kayu yang 'diperakui kesahihannya’. Sebagai balasan untuk iltizam bagi mempertingkatkan kesahihan dan kemapanan produk kayu yang mereka peroleh, beli atau jual, syarikat yang membayar untuk menyertai GFTN mendapat faedah daripada bantuan teknikal yang tersedia untuk ahli dan daripada kaitan dengan WWF dan jenama panda yang terkenal di seluruh dunia.

 

2. GFTN menyatakan bahawa 288 ahlinya memperdagangkan 252 meter padu produk kayu, yang mewakili sekitar 16 peratus volum hasil hutan yang didagangkan di seluruh dunia dengan jualan tahunan digabungkan sebanyak AS$68 bilion. Pada masa ini terdapat kira-kira 75 ‘ahli hutan’ – syarikat pembalakan – dari Rusia, Amerika Latin, Afrika dan Asia, yang mana antara negara-negara ini memegang hak untuk pembalakan di kawasan hutan yang luasnya melebihi keluasan UK. Ahli selebihnya dikelaskan sebagai ‘ahli perdagangan’ – pemproses, pedagang dan peruncit produk kayu.